Surah ini dinamakan sebagai surah al-mulk (Kerajaan) kerana Allah SWT memulakannya dengan memuliakan dan mengagungkan kebesaran darjat-Nya yang Serba Unggul dan Maha Berkuasa. Dia lah memerintah langit dan bumi.
Pada tangan-Nya kekuasaan mutlak. Dia yang berkuasa menghidupkan dan mematikan, memuliakan dan menghinakan , memberi atau tidak memberi kekayaan mahupun kemiskinan.
Surah ini juga dinamakan sebagai al-Waqiyah (Pelindung) dan al-Munjiyah (Penyelamat). Justeru, surah ini dapat memberikan syafaat serta melindungi dan menyelamatkan orang yang mengamalkannya daripada azab kubur sebagaimana yang akan dijelaskan nanti.
Banyak hadis Rasulullah SAW yang menyebutkan akan kelebihan surah ini. Antaranya adalah
Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ada satu surah dalam al-Quran sebanyak tiga puluh ayat yang dapat memberikan syafaat kepada pemiliknya (orang yang membaca), orang itu akan diampuni dosanya, iaitu surah al-Mulk” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ibnu Abbas r.a mengenai penamaan surah al-Mulk dengan nama al-Waqiyah dan al-Munjiyah. Rasulullah SAW bersabda, “Surah itu menjaga, surah itu menyelamatkan, iaitu menyelamatkan pembacanya daripada seksa kubur.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi)
Daripada Anas bin Malik, dia berkata “Rasulullah SAW bersabda, “Ada satu surah dalam al-Quran yang berhujah membela pemiliknya (pembaca) sehinggalah surah itu memasukkan orang tersebut ke dalam syurga. Surah itu ialah Surah al-Mulk. (Hadis riwayat al-Thabrani dan al-Tirmizi)
Daripada ketiga-tiga hadis sahih, kita dapat lihat betapa besarnya manfaat surah Al-Mulk dan kita sewajar menjadikan surah Al-Mulk sebagai makanan ruji untuk rohani kita setiap hari. Dengan hanya 30 ayat sahaja, surah ini mampu memberi kita 1001 syafaat yang besar!