RM0.00
0
Ucapan Alu-Aluan Perdana Menteri atas Kejayaan Penerbitan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi 2022

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia-
Nya kitab Tafsir Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran edisi tulisan Rumi dan Jawi baharu berjaya diterbitkan. Penerbitan kitab ini diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang melantik Ustaz Faisal bin Haji Othman bertindak sebagai penterjemah al-Quran sebelum diserahkan kepada Sheikh Abdullah bin Muhammad Basmeih untuk disempurnakan.


Kitab ini buat pertama kalinya diterbitkan pada 1968 dalam edisi tulisan Jawi dengan jilid pertama merangkumi 10 juzuk, disusuli jilid kedua dan ketiga pada 1970 dan 1972. Seterusnya, kitab ini diterbitkan pula dalam edisi tulisan Rumi pada 1980 bagi memenuhi kumpulan sasaran dakwah yang lebih besar. Saya yakin dan percaya bahawa kitab edisi terbaharu ini akan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan umat Islam Nusantara.


Penggunaan bahan berkualiti tinggi, reka bentuk yang ceria dan penggunaan bahasa yang sesuai, pasti menjadi daya penarik pembaca untuk mendapat manfaat daripadanya. Semoga usaha ini dapat menyemarakkan semangat kita untuk mengetahui makna dan tafsiran al-Quran dengan lebih mudah, meningkatkan usaha dakwah dan dapat menghayati ajaran Islam dengan sempurna. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 29 yang bermaksud,


“Al-Quran ini sebuah kitab yang suci Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat dan mengambil iktibar.”

Ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam perlu berusaha sedaya upaya untuk menerbitkan kitab terjemahan al-Quran dalam bahasa ibunda masing-masing. Lebih penting ialah pemahaman dan penghayatan maksud al-Quran dapat dilestarikan dalam semua aspek kehidupan. Kejayaan menerbitkan kitab ini membuktikan kerajaan sentiasa komited dalam mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkasa urusan hal ehwal Islam di negara ini.


Saya merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penulis, pentashih dan penerbit khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana menjayakan penerbitan kitab ini. Saya amat berharap kitab ini dapat dijadikan kitab tafsir kebangsaan agar manfaatnya mampu dikongsi secara menyeluruh dalam memahami ajaran Islam serantau berdasarkan manhaj Ahli Sunah Waljamaah. Marilah kita bersama-sama istiqamah dengan ajaran Islam, beriltizam dengan akhlak Nabi Muhammad SAW serta sentiasa komited dalam menjayakan agenda kerajaan bagi memperkasakan umat dan membangun tamadun.


Semoga usaha kita mengangkat kalam suci ini sebagai mukjizat teragung sentiasa diredhai dan diberkati Allah SWT.


YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB

Perdana Menteri Malaysia ke-9

*Ucapan ini dipetik daripada kata alu-aluan Perdana Menteri Malaysia dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman Edisi Rumi Baharu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *